Sunday, December 21, 2008

Jangan Seperti Melepaskan Anjing Tersepit

Oleh WFAUZDIN NS

 Trajedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa membongkar berbagai rahsia dan misteri. Di sebalik rasa sedih dan simpati terhadap mangsa-mangsa bencana tersebut, terselit juga perasaan kesal dan marah di antara kita semua terhadap segelintir mangsa-mangsa kejadian yang majoritinya bukanlah dari golongan orang yang susah seperti penduduk-penduduk setinggan yang pernah dihalau dan rumah mereka dirobohkan oleh Kerajaan Selangor di bawah Khir Toyo dahulu. Kadangkala terasa seperti ingin menghilangkan perasaan simpati terhadap mangsa-mangsa tersebut, tetapi masakan kerana dua tiga orang mangsa yang ego dan sombong kita menyalahkan mangsa-mangsa yang lain.

Saya amat sedih dan kesal apabila mendengar berbagai tuduhan dilemparkan oleh beberapa mangsa terhadap petugas-petugas sukarela yang membantu mereka di sana.

Kadangkala tuduhan yang dilemparkan itu terlalu berat untuk diterima sehinggakan terpaksa Ketua Polis dan Panglima Angkatan Tentera terpaksa membuat kenyataan bagi menafikan tuduhan tersebut.

Tidakkah mereka faham misi utama petugas-petugas tersebut yang terdiri dari anggota keselamatan Tentera dan Polis, juga dari Pasukan Rela serta beberapa NGO termasuk Parti-Parti Politik adalah untuk menyelamatkan nyawa dan memberi bantuan kecemasan, makan, minum dan juga penginapan mangsa-mangsa kejadian ?

Pengorbanan mereka yang terpaksa bersengkang mata siang dan malam tanpa elaun dan terpaksa melupakan cuti Hari Raya Haji seharusnya diberi pujian. Mereka datang bukan sebagai hamba abdi atau pesuruh yang boleh dimaki atau diherdik.

Mereka juga bukan datang sebagai Pengangkut Barang Pindah kepunyaan tuan rumah yang diberi upah.

Amat menyedihkan di saat mereka ditimpa bala bencana seperti ini mereka masih ego dan sombong. Bukan semua yang bersikap begitu, tetapi kerana dua tiga kerat orang kaya ini sudah tentu memburukkan imej dan pandangan masyarakat lain terhadap penghuni-penghuni di situ.

Apakah yang boleh kita fikirkan bila mana kita melihat di TV seorang tua yang seolah-olah meroyan memaki hamun petugas-petugas dengan mengatakan ramai yang datang ke situ hanya makan dan minum.

Petugas-petugas di sana dimaki hamun dan dipersendakan hanya semata-mata tidak membantu isteri dan keluarganya mengangkat barang keluar dari rumahnya. Di manakah nilai kesopanan dan budi bahasa orang Melayu yang dilihat sudah berumur ini ?

Ada jua yang mengherdik pihak berkuasa dengan menyatakan mereka membayar cukai tafsiran dan sebagainya untuk memberi alasan mereka seharusnya diberi layanan istimewa. Dia seorangkah yang membayar cukai ? Bagaimana mangsa-mangsa yang lain ?

Terdapat tuduhan mengatakan di tempat bencana umpama tapak pesta. Seharusnya mereka bersyukur disaat mereka kehilangan tempat tinggal masih ada yang sudi menemani mereka di sana. Saya tidak tahu benar atau tidak, ada berita yang mengatakan terdapat beberapa mangsa yang diberi makanan nasi bungkus, mencampakkan nasi tersebut.

Mungkin bukan taraf mereka untuk makan nasi bungkus sebegitu. Saya harap berita ini tidak benar samasekali. Mereka seharusnya lebih bersyukur kerana ada di antara mereka yang mendapat layanan jauh lebih baik dari orang lain yang menderita apabila rumah mereka dirobohkan dan tinggal di bawah pokok atau atap-atap plastik tanpa sesiapa datang memberikan bantuan makanan.

Ada di antara mangsa-mangsa di sini diberi hotel untuk kediaman mereka dan dibiayai pula oleh kerajaan walaupun separuh harga. Alangkah bertuahnya mereka.

Apabila berlaku bencana, walaupun kemalangan jalanraya atau banjir sekali pun, sudah menjadi lumrah akan ada barang-barang berharga akan hilang. Tetapi, mengapa ianya menjadi terlalu sensasi untuk dihebohkan ?

Apakah nilai barang-barang itu lebih berharga dari nyawa yang terselamat ? Tidakkah ini akan mengurangkan semangat petugas-petugas yang jujur dan ikhlas membantu mereka ? Saya bukan ingin membela pihak Polis, Tentera atau semua petugas sukarela yang terlibat, mungkin ada yang panjang tangan dan tidak jujur di dalam melaksanakan tugas.

Tetapi apabila berita kehilangan barang-barang seperti ini disensasikan seolah-olah kita menggambarkan imej yang tidak baik terhadap sukarelawan yang majoritinya ikhlas membatu kita. Sewajarnya kita redha atas apa jua yang berlaku dan jadikan bencana ini sebagai satu hikmah dan pengajaran untuk kita bermuhasabah diri kita.

Kepada semua sukarelawan dan petugas-petugas di sana, kita harapkan mereka terus tabah dengan dugaan yang mereka hadapi. Bertugaslah dengan jujur dan ikhlas kerana Allah pasti membalas jasa-jasamu. Anggaplah maki hamun atau apa jua tuduhan ke atas kamu adalah sebahagian dari dugaan yang terpaksa dilalui.

Buktikan kepada mereka-mereka yang ego dan sombong itu bahawa walau pun kamu bukan dari golongan elit atau mewah, tetapi kamu tidak pernah meminta wang upah atau makan dari mereka.

Kepada mangsa-mangsa di Bukit Antarabangsa yang masih mempunyai nilai diri dan keimanan yang kuat, bersabarlah dengan dugaan yang menimpa. Petugas-petugas itu tidak mengharapkan apa-apa balasan dari kamu, jika kamu mampu beri `ucapan terima kasih' pun sudah cukup menghilangkan rasa penat lelah mereka semua

No comments: