Friday, January 2, 2015



BANDINGKAN BALAK PAS DENGAN BALAK UMNO/BN Ada seorang pengunjung tanpa nama meminta saya memperincikan tentang kemana perginya wang yang dianggarkan RM1.7 bilion, yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat atau digunakan untuk pembangunan.

Beliau meminta saya menjelaskannya kerana dibimbangi boleh menimbulkan persepsi buruk kepada Kerajaan PAS di Kelantan. Ini bermakna mungkin ramai yang menyangka bahawa wang sebanyak lebih kurang RM1.8 bilion itu diurus oleh Kerajaan PAS di Kelantan. Baca di sini.

Teks dalam posting saya yang memerlukan penjelasan semula oleh ‘tanpa nama’ adalah seperti di bawah : Kesian melihat kepada kedhaifan hidup rakyat yang sepatutnya hidup senang di bumi Malaysia ini.

 Malaysia kaya dengan minyak. Hasil minyak melebihi RM50 bilion. Hasil balak juga agak besar. Kita boleh tengok hasil balak di Kelantan dari Tahun 1985 – 1989 yang telah ditebang iaitu sebanyak 158,200 hektar. Hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Kelantan pada masa itu ialah RM167.6 juta.

 Ini bermakna Kerajaan Kelantan memperolehi hasil sebanyak RM1060 sehektar pada tahun tersebut. Kalau diikut pula hasil balak yang diperolehi pada tahun seterusnya sewaktu pemerintahan Islam maka kita dapati hasil balak sehektar ialah sekitar RM11,880.

Ini bermakna sekiranya balak diurus dengan penuh tanggungjawab maka penebangan balak seluas 158,200 hektar selama 5 tahun itu akan menghasilkan sebanyak lebih RM1.8 bilion (di mana perginya wang lebih RM1.6 bilion semasa BN memerintah Kelantan).

 Itu hasil dari negeri Kelantan. Tak termasuk dari negeri lain terutamanya Pahang, Sabah dan Sarawak yang terkenal dengan hasil balaknya.

Untuk lebih jelas maka saya rumuskan seperti berikut :

1. Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai pembalakan di Kelantan, perkara asas yang perlu diketahui ialah Majlis Perhutanan Negara hanya membenarkan Kerajaan Kelantan menebang balak sebanyak 6890 hektar setahun atau sebanyak 34,450 hektar untuk 5 tahun.

 2. Pada Tahun 1985 – 1989 sewaktu BN memerintah Kelantan, kawasan balak yang telah ditebang dalam tempoh 5 tahun tersebut ialah sebanyak 158,200 hektar dengan pendapatan untuk kerajaan negerinya sebanyak RM167.6 juta.

Ini bermakna Kerajaan BN Kelantan pada masa itu memperolehi hasil secara puratanya sebanyak RM1060 bagi setiap hektar kawasan balak.

 3. Manakala pada Tahun 1994 – 1998 iaitu sewaktu PAS memerintah Kelantan, kawasan balak yang telah ditebang dalam tempoh 5 tahun tersebut ialah sebanyak 30,451 hektar dengan pendapatan untuk kerajaan negerinya sebanyak RM361,77 juta.

Ini bermakna Kerajaan PAS Kelantan pada masa itu memperolehi hasil secara puratanya sebanyak RM11,880 bagi setiap hektar kawasan balak.

4. Ini bermakna pengurusan balak oleh PAS (1994 – 1998) lebih baik jika dibandingkan dengan BN (1985 – 1989) di mana Kerajaan PAS Kelantan hanya menebang balak sebanyak 30,451 hektar sahaja dalam tempoh 5 tahun iaitu kurang sebanyak 3,999 hektar daripada keluasan yang dibenarkan oleh Majlis Perhutanan Negara (Jumlah yang dibenarkan untuk tempoh 5 tahun ialah 34,450 hektar)

5. Berbanding dengan pengurusan balak oleh BN (1985 – 1989 ) di mana Kerajaan BN Kelantan telah menebang balak sebanyak 158,200 hektar dalam tempoh 5 tahun iaitu melebihi had sebanyak 123,750 hektar daripada had yang dibenarkan oleh Majlis Perhutanan Negara (Jumlah yang dibenarkan untuk tempoh 5 tahun ialah 34,450 hektar)

 6. Anihnya lagi ialah bilamana pendapatan hasil balak oleh Kerajaan BN sepanjang tempoh 5 tahun tersebut terlalu kecil (RM167.6 juta) sedangkan kawasan balak yang ditebangnya pula teramat luas (158,200 hektar).

7. Berbanding dengan pendapatan yang diperolehi oleh Kerajaan PAS untuk tempoh 5 tahun, didapati teramat besar (RM361,77 juta) sedangkan kawasan balak yang ditebang oleh Kerajaan PAS pula teramat kecil (30,451 hektar)

8. Lihat pula purata hasil balak bagi setiap hektar di mana semasa BN memerintah Kelantan, puratanya untuk tempoh 5 tahun ialah RM1060 sehektar manakala semasa PAS memerintah Kelantan pula untuk tempoh yang sama ialah RM11,880 sehektar.

9. Seandainya PAS mengurus kawasan pembalakan seluas 158,200 hektar mengikut harga purata semasa PAS memerintah sepanjang 1994 – 1998 iaitu RM11,880 maka Kerajaan Negeri Kelantan akan memperolehi pendapatan sebanyak lebih kurang RM1.8 bilion (RM11,880 X 158,200 hektar = RM1,879,416,000).

 10. Persoalannya kemana ghaibnya wang sebanyak lebih kurang RM1.7 bilion (RM1,879,416,000 – RM167,600,000 = RM1,711,916,000) yang sepatutnya diperolehi oleh Kerajaan Negeri pada masa itu (1985 -1989).

11. Hal yang sama berlaku di Kedah di mana semasa BN memerintah, hasil balak hanya RM7-8 juta sahaja. Namun apabila PAS memerintah, hasil balak meningkat kepada lebih kurang RM30 juta. Kesimpulan : Sekiranya Kerajaan UMNO/BN terus memerintah negeri dan negara maka mereka akan terus meratah hasil negeri dan negara untuk kepentingan dan kemewahan hidup pemimpin-pemimpin mereka.

 Bukan itu sahaja malah mereka akan terus melakukan penyelewengan dana negara atas nama pembangunan dan juga projek untuk kemudahan rakyat dan ini boleh dilihat kepada tender pembelian komputer riba yang bernilai hanya sekitar RM4500 sahaja tetapi Kerajaan UMNO/BN menerima tender bagi barang tersebut dengan harga RM42,000 sehingga ditegur oleh Audit Negara.

Dan banyak lagi penyelewengan yang pembaca boleh ingat kembali.. Wallahu’alam.

Balak: Kenapa Kelantan dan Kedah, Pahang bagaimana?

Khairil Abdul Rahim | .
Tiba-tiba seorang kolumnis di akhbar Berita Harian, dalam tulisannya yang bertajuk “Pemimpin PAS undang bala amaran al-Quran”, teringatkan amaran al-Quran yang melarang kerakusan manusia melakukan pembalakan tidak terkawal sehingga memusnahkan hutan dan alam sekitar.

Penulis merujuk ayat 41 Surah Ar-Rum yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Kita akui bahaya ancaman itu, tetapi sayangnya amaran daripada kitab suci itu hanya ditujukan kepada Kedah dan Kelantan sahaja, kenapa tidak Pahang yang sinonim dengan penebangan balak dikaitkan?

Saya faham tulisan yang dibangkitkan itu semata-mata untuk menyokong isu-isu menjelang pilihan raya umum yang sedang dibangkitkan oleh media-media Umno, namun seelok-eloknyanya apabila menghukum biarlah adil. Itu juga tuntutan al-Quran.

Sebagai anak Pahang dan tinggal di negeri ini, saya sendiri masih ingat sejak kecil dan kini meniti ke usia separuh tua, tidak pernah putus-putus melihat deretan lori balak di jalan raya. Maka saya tidak dapat bayangkan sudah berapa ribu juta batang balak yang sudah ditebang.

Sebenarnya amaran yang disebutkan itu mungkin baru ditemui penulis, sedangkan amaran al-Quran itu sudah lama dibangkitkan termasuk daripada PAS. Masih ingatkah tragedi Highland Tower pada 11 Disember 1993 dan tanah runtuh Bukit Antarabangsa 6 Disember 2008?

Pada ketika itu ‘kegilaan’ kerajaan Umno-BN ialah menarah dan membangunkan perumahan mewah di kawasan bukit bukau terutama di pinggir ibu negara.

Ketika itulah para ulamak terutamanya daripada PAS, ke hulu ke hilir menerangkan betapa bahayanya apabila alam sekitar dinoda dan dimusnahkan. Tapi ada pemimpin Umno kisah?

Peliknya, kenapakah penulis menghalakan amaran itu kepada Empangan Pedu sahaja, sedangkan kerosakan yang berlaku di Tasik Chini, Pekan lebih kritikal lagi. Penulis tidak wajar mengkritik berdasarkan emosi dan prasangkanya sahaja sedangkan Tasik Chini telah disahkan oleh penyelidik akan lenyap musnah menjelang 2030.

Akhbar yang sama (Berita Harian) sebelum ini melaporkan, betapa Tasik Chini yang diiktiraf sebagai kawasan Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal musnah pada 2030 akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal di sekitarnya.

Perkara tersebut didedahkan oleh Felo Intelektual Awam Asia (API), Dr Hezri Adnan yang berkata tasik tersebut sedang ‘nazak’ hanya menunggu masa menjadi kering akibat pemendapan dasar tasik.

Barangkali Reeja Arbee tidak menemui artikel tersebut.

Bahkan Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tasik lagenda itu akan musnah lebih awal lagi akibat pencerobohan hutan dan pelombongan yang tidak terkawal. PAS percaya berdasarkan realiti, kemusnahan akan berlaku lebih cepat daripada itu (2030) jika terus dibiarkan kawasan tadahan air di sekitar Tasik Chini terus diceroboh dengan penebangan balak yang melanggar Akta Alam Sekitar.

Apa lagi 1,000 penduduk Orang Asli di sekitarnya juga bakal pupus kerana kehilangan sumber pemakanan, ubat tradisional dan kesan penggunaan air tercemar.

PAS berpandangan, bukan sahaja Tasik Chini  malah Tasik Bera dan Tasik Paya Bungor juga akan mengalami nasib yang sama kerana ternyata kerajaan negeri kurang prihatin. Sedangkan khazanah alam ini merupakan kurniaan Allah yang tidak ada di tempat lain.

Begitu juga dengan pencerobohan tanah tanpa kawalan di lereng bukit Cameron Highlands. Betapa lemahnya kerajaan Pahang dan kerajaan pusat membendung penyangak-penyangak alam sekitar yang merosakkan tanah tinggi di Cameron Highlands. Terdapat dua lokasi yang telah digondolkan oleh mereka iaitu berdekatan dengan Kampung Pos Terisu dan Sungai Palas yang berdekatan dengan ladang Teh Boh.

Jenayah alam sekitar tanah tinggi di Cameron Highlands bukanlah satu isu baru. Malah pernah disiarkan berita warga tanah tinggi itu tidak berpuas hati dengan kawalan pihak berkuasa lalu berdemonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Pahang.

Penebangan hutan simpan Lembah Klau, Raub untuk projek saluran air ke Selangor iaitu Loji Rawatan Air Langat 2 oleh kejaaan BN, lebih teruk lagi. Rata-rata berpendapat ia boleh menenggelamkan kawasan beribu hektar Hutan Simpan Kekal Lakum. Kesannya boleh mengorbankan kepentingan rakyat Pahang, selain menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Akibatnya, spesies habitat hidupan liar di sana pupus. Turut bakal terkorban, perkampungan Orang Asli suku Temuan di Bentong dan Orang Asli Sungai Temir kerana terpaksa ditenggelamkan bagi pembinaan Empangan Klau.

Sebab itu pembinaan empangan tersebut dianggap pemusnahan alam sekitar yang dahsyat sehingga dikritik hebat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta alam tempatan mahupun dan luar negara.

Begitu juga dengan pencerobohan hutan dara di sepanjang jalan ke Taman Negara, Jerantut. Pembalakan haram dah lama berlaku sama ada melalui Padang Piol mahupun jalan darat yang masuk ikut Felda Lepar. Isu tersebut pernah didedahkan dalam akhbar Harakah dan didedahkan juga oleh Tv3, namun tiada tindakan dibuat.

Pendek kata, jenuhlah pencinta alam sekitar dan para ulamak berteriak memberi amaran namun tiada dari pihak kerajaan yang menganggapnya serius ketika itu.

Perkara yang sama terjadi di hutan Bukit Ibam Rompin, hutan Lepar di Maran dan hutan Bebar, Pekan. Sebenarnya banyak pembalakan haram di kawasan tadahan air dan hutan simpan kekal di Pahang, malangnya berita tersebut tidak barangkali tidak ditemui oleh kolumnis ini.

Terbaru, rombongan PAS Pahang menyaksikan sendiri kerakusan pencerobohan Hutan Simpan Kemasul dalam Dewan Undangan Negeri Pelangai, Bentong iaitu dalam kawasan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri.

Tidak cukup dengan itu, ada satu lagi kegilaan kerajaan BN sekarang iaitu meluluskan begitu banyak operasi lombong besi. Mungkin ia tidak salah, tetapi tanpa pemantauan rapi boleh memusnahkan alam sekitar.

Harakahdaily pernah menyiarkan rungutan penduduk di Luit dan Sri Jaya, Maran yang terpaksa menghirup abuk debu-debu besi yang bertaburan sepanjang jalan menyebabkan ramai penduduk mengalami batuk-batuk, rumah mereka berhabuk selain terpaksa berdepan dengan pencemaran bunyi setiap hari termasuk pada hari.

Kegiatan melombong berhampiran rumahnya menyebabkan aliran sungai di kawasan tersebut musnah dan kesannya, penduduk kampung terdedah kepada banjir besar dan pencemaran air yang menjadi sumber minuman penduduk jika bekalan air terputus.

Sebenarnya terlalu banyak kes pencerobohan alam sekitar di Pahang tetapi ditangani begitu lemah oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

Berbalik kepada artikel kolumnis tadi, saya fikir sesiapa sahaja akan berkongsi rasa terancam dengan pembalakan yang tidak terkawal sebagaimana disebutkan. Tetapi berdasarkan laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Jabatan Alam Sekitar, pembalakan di Kedah dan Kelantan masih diakui mengikut piawaian.

Kita harap pada masa akan datang, kolumnis yang sama akan mengulas juga isu-isu alam sekitar di negeri-negeri bawah pentadbiran BN termasuk Pahang

No comments: