Wednesday, November 5, 2008

Baca dulu, dan kemukakan pandangan tuan2... Rabu, 5 November 2008 Oleh: Dr Farish Noor Keriuhan tercetus kerana pencalonan seorang wanita Cina – Low

Baca dulu, dan kemukakan pandangan tuan2...
Rabu, 5 November 2008
Oleh: Dr Farish Noor-petikan dari tranungkite

Keriuhan tercetus kerana pencalonan seorang wanita Cina – Low Siew Moi – sebagai ketua bagi sebuah institusi kerajaan negeri yang berkait dengan pengurusan dan pembangunan ekonomi negeri Selangor, iaitu PKNS.

Meskipun pada kenyataannya, Low telah dipilih berdasarkan merit, beberapa pihak memilih untuk meluahkan rasa tidak setuju terhadap perlantikannya atas hujah orang-orang Melayu-Muslim di negeri ini akan menentang perlantikan tersebut.

Akan tetapi bantahan ini atas dasar apa, tanya Farish Noor

ANEH, setelah lebih 14 abad berlalu masih terdapat sebilangan orang yang mengaku Muslim, tetapi tidak mampu untuk memperhalusi nilai-nilai universal Islam.

Lebih menghairankan lagi ada juga orang yang di satu sisi menganut seruan persaudaraan Islam yang universal, tetapi belum mampu memahami idea mudah bahawa Islam dan rasisme (perkauman) tidak bercampur.

Bukti tentang ketidakselarasan ini (antara Islam dan rasisme) boleh ditemui di mana-mana pada hari ini.

Malangnya, ia telah menjadi norma budaya yang lumrah di kebanyakan masyarakat Muslim, sehingga orang yang berkulit cerah dipandang lebih baik dan diberi keistimewaan yang mereka rasakan bagaikan hak semulajadi manusia berkulit putih.

Menarik untuk diperhatikan, sebilangan Muslim cenderung untuk meraikan orang Amerika atau Eropah berkulit putih yang memeluk Islam, tetapi rasa ghairah mereka berkurangan ketika merestui kenyataan bahawa ribuan warga Afrika dan Asia juga saban tahun turut memeluk Islam.

Lebih jauh lagi, apabila ia menjurus kepada soal pentadbiran dan politik, tambah memeritkan apabila sebilangan Muslim akan terus meletakkan soal darah dan ras mengatasi soal keupayaan dan kelebihan sehingga ke hari ini; dan di samping pegangan keimanan, mereka masih terus digenggam pola pemikiran perkauman yang jumud atas hujah sesetengah ras adalah lebih utama dari yang lain.

Satu daripada kes seumpama ini telah meletus baru-baru ini di dalam masyarakat pelbagai budaya Malaysia, apabila keriuhan meletus kerana pencalonan seorang wanita Cina – Low Siew Moi – sebagai ketua bagi sebuah institusi kerajaan negeri yang berkait dengan pengurusan dan pembangunan ekonomi negeri Selangor, iaitu PKNS.

Meskipun pada kenyataannya, Low telah dipilih oleh Menteri Besar Khalid Ibrahim berdasarkan merit, beberapa pihak memilih untuk meluahkan rasa tidak setuju terhadap perlantikannya atas hujah orang-orang Melayu-Muslim di negeri ini akan menentang perlantikan tersebut. Akan tetapi bantahan ini atas dasar apa? Atas alasan dia wanita Cina?

Maka gelora iklim politik perkauman di Malaysia yang sememangnya bergolak menjadi lebih keruh; disebabkan mereka yang menentang perlantikan Low Siew Moi ini termasuklah sebilangan ahli Parti Islam Se-Malaysia, PAS.

Politk Malaysia telah difahami menurut rasa keprihatinan ras dan tuntutan kaum yang terdiri dari pelbagai kumpulan agama dan etnik di negara ini semenjak kemerdekaannya pada 1957.

Sepanjang tiga dekad yang lalu, nada dan rentak politik konservatif golongan kanan nasionalis di negara ini telah diwarnai dengan perlumbaan terhadap Islamisasi di mana pemerintah Malaysia berusaha untuk terus menyemai nilai-nilai Islam sebagai norma dalam pentadbirannya.

Akan tetapi, ironisnya program Islamisasi di Malaysia dilihat lebih menitik-beratkan soal pengharaman buku, fatwa terhadap tingkahlaku sosial (termasuk pengumuman terbaru mengenai fatwa tentang Yoga, tunggukannya), serta juga polisi mengenai moral.

Para sarjana Islam boleh bertanya, adakah wujud nilai-nilai universal Islam di tengah-tengah seluruh penjanaan sosial ini?

Apakah para pemimpin Malaysia tidak sedar, atau lupa, tentang idea mudah bahawa Islam merupakan agama tanpa kelas yang buta warna kulit; dan konsep ‘ras’ merupakan satu idea asing dalam Islam?

Dilema yang dihadapi oleh Malaysia sekarang adalah dilema serupa yang dihadapi oleh kebanyakan masyarakat Muslim yang lain di mana perlindungan dan dokongan terhadap Islam bergerak beriringan dengan perlindungan dan dokongan terhadap kepentingan komuniti Muslim.

Dalam kes Malaysia, di mana majoriti Muslim adalah Melayu, maka ini juga diterjemah sebagai perlindungan terhadap kepentingan Melayu –ke tahap penyebaran idea nasionalis kaum Melayu yang mendominasi budaya.

Lalu, apakah yang membumi tentang Islam dalam hal ini?

Maka, disinilah dunia kesarjanaan Muslim ortodoks perlu tampil dan melakukan campurtangan pada masanya: Harus diingati kejayaan Islam dan kejayaan Muslim adalah dua perkara yang sangat berbeza yang mungkin berselisih dan saling menolak antara satu dengan yang lain pada masa yang sama.

Kemenangan Islam, harus difahami sebagai kemenangan nilai-nilai universal seperti egalitarian (tanpa kelas) dan kesamarataan di hadapan Tuhan.

Kemenangan Muslim, sebaliknya pula, boleh difahami sebagai kemenangan politik yang mungkin iya atau tidak menepati etika Islam sebenar.

Kekalahan penduduk Kuwait di tangan Saddam Hussein, umpamanya adalah kes satu negara Muslim mengalahkan yang lain, tetapi adakah ini kemenangan Islam?

Maka begitu juga, apabila Muslim secara terbuka dan keras menuntut hak keistimewaan dan perlembagaan bagi diri mereka dengan mengorbankan nilai kesamarataan dan meritokrasi, adakah ini benar-benar kemenangan Islam?

Mereka yang mengkritik dan menentang perlantikan Low Siew Moi sebagai ketua PKNS atas hujah jawatan tersebut perlu diberikan kepada Melayu-Muslim juga harus melihat dengan teliti pada diri mereka dan bertanya:

Apakah yang anda perjuangkan?

Dominasi Melayu-Muslim atau bentuk kerajaan yang lebih baik berdasarkan merit dan kesamaan? Sarjana Islam akan mengingatkan anda bahawa pernyataan terakhir adalah Islam, sementara yang terdahulu itu tidak.

Malah, dalam mana-mana kes sekalipun Muslim yang berfikir mengikut fahaman perkauman komunitinya adalah satu perkara tidak kena kerana nada komunitinya, yakni pemikiran berpihak tidak mempunyai tempat sebenar dalam etika dan ajaran Islam.

Memetik Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Murshidul Am Parti Islam Malaysia, PAS: ‘beritahu saya, Nabi Adam itu bangsa apa?

-Aliran/Suara Keadilan/terjemahan bebas oleh Mustaffa Alias

No comments: