Sunday, April 5, 2015

Di Petik Dari sumber

Negara alami kegagalan kepimpinan yang kronik

DR DZULKEFLY AHMAD | 05 April 2015.


PERNAH saya buat ramalan dalam penulisan bertarikh Nov 2014 lalu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan tumbang akibat dari skandal 1MDB.

Dengan serangan yang sangat dahsyat yang dilancarkan oleh Tun Mahathir dalam media Facebooknya semalam, telahan saya itu semakin tampak nak menjadi kenyataan.

Tun yang sudah menjadi mantan PM sejak Oktober 2003, masih punya pengaruh berbisa dalam apa jua singgungannya akan perihal politik negara. Itu hakikat yang sukar ditolak kawan dan lawan.

Pertama, Tun mahukan siasatan tentang dakwaan Sirul bahawa beliau yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah, membunuh wanita mongolia, Altantuya, yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam, adalah dibuat di bawah arahan.

Tun tegaskan rakyat mahu tahu siapa yang mengarah. Sebagai pengawal peribadi DS Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang beri arahan tersebut. Tun menyebutkan amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.

Dalam hal 1MDB Tun menegaskan bahawa tuduhan penyelewangan dalam urus niaga berbilion ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini kata Tun, tidak dijawab selain daripada berkata ia adalah pembohongan.

Tun telah membangkitkan pelbagai persoalan kritikal tentang urusniaga 1MDB termasuk perihal bayaran US$700 juta yang dibayar kepada PetroSaudi dan kesahihan wujudnya aset syarikat itu sebenarnya.

Juga turut dipertikaikan adalah kekayaan Jho Low serta hubung kaitnya dengan kemewahan anak tiri Najib, Riza Aziz, yang juga terlibat dalam ratusan juta ringgit urus niaga termasuk penerbitan filem, 'Wolf of the Wall Street' dan perolehan apartmen mewah di New York dan Hollywood dan lain-lain.

Tegasnya Tun mendakwa bahawa rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak lagi percaya kepada Najib dan BN akan kalah dalam PRU ke14 akan datang.

Dengan serangan paling tajam dan ganas ini, maka wibawa dan integriti Najib adalah sangat tercalar. Najib berdepan dengan ujian yang bukan kepalang kali ini.

Mungkin Umno belum mahu untuk menukar Presidennya, sebab dakwa Tun M, mereka setia secara 'buta tuli' kepada pemimpin.

Namun sebenarnya umum tahu bahawa Umno tidak mahu 'rock the boat' sehingga Kapal Titanik kemegahan mereka berserta nakhoda dan anak-anak kapal seluruhnya akan turut karam bersama.

Apakah kita sedang menyaksikan satu episod terakhir sejarah politik Umno yang bakal menghuru-harakan bukan saja parti politik Melayu terbesar di dunia itu, bahkan berpotensi mencetuskan krisis kepimpinan negara sehingga boleh diiktiraf sebagai menjadi satu 'Failed Leadership', (Kepimpinan Gagal) sekaligus membahayakan negara -kalau pun belum boleh disebutkan sebagai sebuah 'Failed State' lagi.

Apakah tindakan rakyat, yang berkebetulan juga sedang berdepan pelbagai tekanan hidup akibat tadbir-urus yang sangat culas serta boros dan kemelut yang menekan kesejahteraan dan kedamaian mereka?

Apakah masanya telah sampai untuk kita tekan 'The Reset Button' untuk negara ini- setelah Tun M dan YBM Tengku Razaleigh sendiri sudah menekan 'The Panic Button' untuk membuat kejutan dan meniup semboyan kepada ahli Umno, bahkan kepada rakyat seluruhnya?

Sama-sama kita fikirkan! Allah Selamatkan Negara Tercinta ini! – HARAKAHDAILY 5/4/2015

No comments: