Wednesday, July 11, 2012



Mungkinkah MUBARAK MELAKA Juga Begini ?
Rupa-rupanya semalam PM Najib telah memanggil semua bekas-bekas wakil rakyat BN seluruh negara ke kediaman beliau untuk meminta bantuan untuk BN menghadapi pilihanraya yang paling getir buat parti pemerintah sejak negara merdeka. Dalam keadaan sebegini tentulah sebab kenapa mereka dipanggil itu ialah kerana Najib tidak begitu yakin meraih kemenangan apabila menghadapi parti-parti ‘alternative’ dalam PRU akan datang ini. Dua orang bekas ADUN dan seorang bekas ahli parlimen telah menghubungi saya dan ketiga-tiga orang ini mempunyai cerita yang sama. “Dah nak tergolek baru panggil kami,” kata salah seorang yang menghubungi saya itu. 

 Menurut kata ahli MUBARAK itu, Najib mengakui yang tekanan terhadap UMNO dan BN sangat kuat dan pihak PR begitu serius dalam usaha untuk ke Putrajaya itu. “Kami bekas-bekas ADUN dilayan macam orang tidak berguna. Saya pergi saya hendak mendengar temberang Najib dan Muhyiddin sahaja. Kami ini ibarat orang yang ‘dipanggil datang, di suruh pergi. Itu sahaja,” kata bekas ADUN yang masih menganggotai jawatankuasa UMNO bahagian itu. Bekas ahli parlimen dan Menteri pula berkata, “Muhyiddin kata ada peningkatan sokongan bagi UMNO sekarang. Aku diam aje. Dalam hati aku bertanya, kat mana dia pertambahan sokongan itu? Kat Johor sendiri pun banyak kerusi BN akan lingkup,” katanya kepada saya. Apa yang dilakukan oleh Najib ini tidak ada salahnya kerana bekas-bekas wakil rakyat ini merupakan ahli-ahli kepada parti-parti komponan BN dan Najib ada ‘moral standing’ untuk memanggil mereka dalam BN sedang menghadapi penyakit yang tidak dapat diubati ini. 

 Dalam lain perkataan Najib hanya memanggil dan menjadikan mereka orang-orang penting dalam keadaan tersepit. Tetapi Najib tidak pernah meminta pandangan mereka sebelum melakukan apa-apa tindakan dan pelan gerakan parti bagi menghadapi PRU kali ini. Selama ini Najib, orang nombor satu negara itu hanya memberikan tumpuan kepada pandangan ‘consultant-consultant’ politik beliau sahaja dan beliau tidak bertapak kepada bumi yang nyata. Semasa saya menulis posting ini saya telah mendapat panggilan dari seorang bekas Exco kerajaan sebuah negeri dan beliau memberi tahu yang Najib sedang nazak politiknya. “Apa yang saya benci sekarang ini, jika BN masih dapat kuasa hanya orang-orang tertentu sahaja yang akan mendapat habuan dan kami ini hanya dijadikan landasan untuk mereka menyamun dan merompak kita. "Bagi saya UMNO sudah sampai waktunya untuk dibersarakan bagi memberi harapan kepada rakyat yang ramai mendapat nikmat kekayaan negara,” kata beliau yang pernah menjadi exco kerajaan dalam pertengahan lapan puluhan tahun dahulu

. “Orang bawahan hanya di anggap sebagai kaldai sahaja. Lepas kroni Mahathir, kroni Najib pula yang membelasah. Lepas tu kroni Muhyiddin dan kroni-kroni MB-MB pula yang mengaut keuntungan sokongan ramai. "Orang ramai dapatlah BRIM, beratur sepanjang-panjangnya untuk mendapat sejemput duit untuk menyambung kehidupan yang terdesak,” Sambungnya lagi. Sebenarnya apa yang diperlukan rakyat ialah dasar yang kuat untuk rakyat dan dilaksanakan secara betul.

 Dasar itulah yang sepatutnya turun kebawah dan bukannya batang tubuh pemimpin. Mahal harganya untuk Najib turun acapkali kebawah tetapi rakyat hanya dapat makan karipap sahaja. Rakyat sudah jelak dengan sikap pemimpin berebut-rebut berniaga dengan rakyat yang ramai. Rakyat sudah tidak tahan lagi menteri-menteri yang sepatutnya melakukan ‘supervision’ terhadap pegawai dan penjawat awam yang sepatutnya melaksanakan dasar itu telah masuk campur dalam perniagaan bersama-sama pegawai kerajaan. Di negara ini sahaja kita mendengar menteri-menteri adalah kontraktor, menteri-menteri juga meupakan pembekal kepada kerajaan dari membekalkan mee maggi sehingglah membekalkan kapal selam untuk pertahanan negara. 

 Anak-anak pemimpin kita juga yang mengambil alih syarikat-syarikat strategik negara seperti yang dilakukan oleh anak Mahathir dengan mengambil alih Exxon Mobil dan memaksa MAS membeli bahan bakar dari syarikat itu untuk keperluan syarikat penerbangan negara, MAS. Pemimpin besar negara juga lah yang mengambil wang Petronas untuk menyelamatkan perniagaan anak kesayangannya. Cakap pemimpin ini bergegar-gegar memarahi orang Melayu yang terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk hidup tetapi semua anaknya bergantung kepada harta benda rakyat untuk menjadi kaya raya yang tidak terperi. Sebagaimana yang dikatakan oleh salah seorang yang hadir dalam pertemuan dengan Najib semalam, “Nampak sangat yang mereka (pemimpin-pemimpin) rasa terdesak dan meminta sokongan kami yang sudah lama dilupai ini. Pergi jahannamlah!!” kata beliau marah-marah. 

MOUNTDWELLER

PANDANGAN DAN PENDAPAT BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI MENYOKONG YANG BENAR 

Umno menuai berkat daripada kilang arak San Miguel

Sudah hampir sepuluh tahun Tun Dr Mahathir Mohamad bersara dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ada orang kata buang 'dakwat' sahaja kalau hendak menulis atau mengkritik mantan PM ini. 

Namun, kadang-kadang kita perlu diimbaskan kembali wajah politik Dr Mahathir, yang sehingga kini, masih mendominasi atau dictate masa depan Umno, khususnya pelbagai gesaan yang beliau lakukan terhadap PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi sehingga hari ini Dr Mahathir masih aktif berpolitik, mengeluarkan kenyataan politik dan menghentam Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering menjadi sasarannya. Nampak jelas mantan Presiden Umno itu sangat berjaki dengan Anwar.

Baru-baru ini beliau terus menyerang Anwar dan menggesa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersara daripada politik.

"Ada pemberita tanya, Dr Mahathir suruh berhenti sekarang. Saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat. Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu! Seorang pemimpin, puluh bilion kekayaan anak-anaknya," tegas Anwar dalam ceramahnya di Selayang, baru ini.

Anwar mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu marah kepadanya. Sedangkan selama ini, beliau tidak pernah mengacau dan telah pun memaafkan bekas PM tersebut.

"Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.

"(Tetapi) yang kamu takut ini apa? Rupanya, dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia," katanya sambil mengimbau detik-detik perselisihan beliau dengan Dr Mahathir sebelum dipecat daripada kerajaan pada September 1998.

Ramai kalangan rakyat Malaysia yang dibutakan dengan fakta. Mereka digelapkan daripada mengetahui kekayaan Dr Mahathir anak-beranak. Kita tidak menuduh beliau kaki rasuah, namun sewaktu beliau masih menjadi PM lagi, anak-anaknya didapati menguasai lebih 160 buah syarikat, mengikut dokumen daripada Pendaftar Syarikat.

Apa yang disebutkan Anwar harus dibongkar. Bagaimana mereka sekeluarga boleh memperolehi kekayaan mencecah puluhan bilion ringgit? Ini tidak harus kita diamkan.

Apa pun, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang berjaya membangunkan negara. Beliau juga berjaya mendidik anak-anaknya, supaya berjaya dalam politik dan perniagaan.

Dr Mahathir adalah bapa mithali. Seorang bekas PM yang hebat dan bekas Presiden Umno yang berjaya. Beliau berjaya kerana beliau dan anak-anaknya menguasai konglomerat terbesar.

Bukan sahaja di Malaysia. Khabarnya kekayaan mereka meliputi Filipina sehingga ke Buenos Aires, Argentina. Kita tidak tahu sama ada syarikat yang dikuasai mereka, meliputi negara-negara bekas jajahan Soviet Union seperti Kyrgyzstan, Kazakhstan dan lain-lain.

Justeru, seluruh anggota dan pemimpin Umno harus mengambil contoh kejayaan Dr Mahathir, anaknya Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz.

Anak sulungnya, Mirzan membuktikan bahawa beliau adalah Bumiputera yang berjaya, hasil didikan Umno. Beliau adalah intipati daripada profesional yang berjaya, hasil doktrin perjuangan kebangsaan Melayu Umno.

Mana tidaknya. Bukan senang orang Melayu hendak berjaya dalam perniagaan. Bukan senang kaum Bumiputera, anak seorang pemimpin Islam boleh menguasai syarikat yang bertaraf antarabangsa.

Seorang lagi anak Mahathir, Mokhzani, bekas bendahari Pemuda Umno adalah pemilik Kencana Petroleum. Kencana merupakan salah sebuah dari tujuh syarikat yang mendapat lesen menggali minyak daripada Petronas. Bapanya, merupakan Pengerusi Petronas. Ada sumber memberitahu kekayaan Mokhzani, hasil daripada syarikat minyaknya, mencecah RM1.6 bilion.

Anak bongsunya, Dato' Mukhriz, walaupun kerjaya politik tidak seberapa, bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pun kalah, tetapi dilantik menjadi timbalan menteri. Sekarang ini, beliau mencadangkan Mukhriz menjadi antara bakal calon Menteri Besar Kedah. Itu pun jika BN menang, kalau BN melingkup, tiada ada apa hendak dikata lagi.

Bercerita tentang kehebatan Mirzan. Beliau sebelum ini, menguasai syarikat antarabangsa Filipina, San Miguel Corporation, yang juga pemilik syarikat San Miguel Brewery Inc, pembekal dan pengedar minuman arak yang terbesar di negara tersebut.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran arak Filipina. Syarikat yang sudah mencecah satu abad itu, difahamkan turut mempunyai kilang arak serta kepentingan di China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia. Menurut laman web San Miguel, ia mempunyai pasaran 60 buah negara di seluruh dunia.

Walaupun San Miguel turut terbabit dalam beberapa bidang perniagaan lain, tetapi yang jelas penglibatan Mirzan, selaku anak kepada bekas PM, anak bekas Presiden Umno yang beragama Islam, yang partinya mendakwa parti Islam terbesar dalam Malaysia, mencetuskan banyak persoalan.

Hari ini rakyat Malaysia mempersoalkan pula, bagaimana Mirzan melalui San Miguel berjaya menguasai syarikat minyak Esso Malaysia. Esso kemudiannya menukar nama kepada Petron dan Petron diberi kontrak untuk membekalkan minyak kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

MAS sebelum ini mendakwa mengalami kerugian, kerana terpaksa menanggung kos bahan api yang dibekalkan oleh Petronas, dan Dr Mahathir selaku Pengerusi Petronas.

Esso sudah 'direbranded' sebagai Petron selepas syarikat asal dari Filipina, Petron Corp yang merupakan sebahagian daripada syarikat milik konglomerat San Miguel menjadi pemegang saham terbesar Esso Malaysia dengan pegangan saham sebanyak 73.4 peratus.

Apa yang jelas hari ini, Putrajaya yang dipimpin Najib begitu membisu dengan penguasaan ekonomi yang semakin rancak oleh anak-beranak Dr Mahathir. Yang jelas, mereka semakin mendominasi ekonomi negara. Penuh dengan 'conflict of interest.'

Kita menggesa Putrajaya untuk memberi penjelasan bagaimana syarikat-syarikat yang merupakan aset penting negara, boleh dikuasai oleh entiti asing dengan harga belian di bawah harga pasaran sebenar.

Seperti yang ditegaskan Anwar, Najib harus membuat penjelasan kepada rakyat, mengapa semua urusniaga yang membabitkan Petronas, MAS, Petron dan sebagainya, dilakukan untuk kepentingan Dr Mahathir anak-beranak?

Bagi Dr Mahathir, beliau anak-beranak, boleh tersenyum bangga kerana mereka merupakan Bumiputera yang berjaya dalam perniagaan, dengan nilai syarikat-syarikat besar yang mereka kuasai mencecah puluhan bilion ringgit.

Tetapi bagi rakyat, kami tidak akan berpuas hati. Kami tidak akan meredai harta milik negara diserahkan kepada syarikat kroni pemimpin Umno. Harta rakyat bukan harta yang mudah-mudah hendak dibidak-bidak pemimpin Umno anak-beranak.

Justeru kita menuntut Putrajaya memberi penjelasan segera. Kita juga menuntut Dr Mahathir dipecat daripada Petronas kerana pelbagai kepentingan negara diraih beliau anak-beranak. Negara akan musnah jika pemimpin Umno dibiarkan untuk bebas sebegini.

Kayalah kamu, mewahlah hidup kamu wahai pemimpin Umno! Itulah berkat daripada kilang arak San Miguel! Berkat dari perjuangan kebangsaan, tanpa mengira halal haram. Meminjam kata Najib di Felda tempohari, memang 'haram jadah'!

No comments: