Friday, May 6, 2011

Mukaddimah........................



POLITIK DAN KEKELIRUAN MASYARAKAT MELAYU


Segala puji bagi Allah yang telah memilih kita sebagai hambanya, segala puji bagi Allah yang masih mengizinkan kita tergolong dikalangan mereka yang beriman. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan Muhammad SAW dan para sahabat dan tabiin.


Umum menyedari bahawa kekalutan cara berpolitik masyarakat Malaysia sangat ketara. Semua pihak punya kelemahan tersendiri. Ahli politik, para pengundi dan umumnya rakyat perlu lebih bertanggungjawab dan penuh sedar dalam mendepani persoalan yang bersangkut paut dengan kenegaraan atau cara bagaimana memilih pemimpin.


Justeru buat mereka yang mengakui dirinya islam, mereka perlu memperbaikinya dan kembali kepada Politik Quranik iaitu politik yang berasaskan undang-undang Allah dan Rasulnya.


Allah berfirman dalam surah an Nisa' :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ


فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ


إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً (٥٩


Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (59)


Masyarakat kerap berbalah dalam hal politik. Tidak kurang juga yang suka memaki -hamun. Adakalanya tidak bertegur sapa sehingga membentuk masyarakat yang hidup berpuak-puak.Keadaan ini mengakibatkan wujud kelompok masyarakat yang menyisihkan politik dalam kehidupan. Lebih parah mereka memisahkan politik daripada ajaran islam. Mereka menyalahkan politik.


Ada pula yang berkata “ politik tidak boleh di bawa masuk ke masjid ”. “ Jangan kotorkan masjid dengan bicara politik ”. Kadangkala kita mendengar pula ungkapan “ jangan mempolitikkan isu ini !!...jangan asyik sibuk berpolitik…!! ”.


Kekeliruan masyarakat bertambah apabila Parti A berkata kepada Parti B “ itulah Parti B asyik berpolitik 24 jam hingga rakyat tergadai ”. Pada ketika yang lain Parti B pula menyergah Parti A dengan nada yang sama. Bagaikan politik itu haram di mana-mana dan pada apa jua ketika. Sedangkan Allah menuntut Rasul SAW membentuk kuasa politik di Madinah untuk kelangsungan kejayaan Risalah Tauhid di bumi Allah.


Sebab masyarakat berbalah


Di dalam hal ini penulis berpandangan punca utama masyarakat melaysia berpuak-puak, maki hamun dan seumpamanya adalah kerana masyarakat tidak memahami konsep sebenar politik dari kaca mata islam. Mereka tidak dapat membezakan antara politik yang berteraskan tauhid dan politik yang kosong dari nilai tauhid .


Sumber Ilmu Politik Melayu Muslim


Kefahaman politik mereka hanya bersumberkan surat khabar harian dan telivisyen. Kefahaman politik mereka terbatas dalam soal menang dan kalah dalam pilihanraya atau debat perdana. Kefahaman politik mereka tidak menjangkau pada topik-topik yang lebih luas dan asas. Mereka menyokong kumpulan politik kerana nenek moyang mereka atau kaum kerabat terdahulu menyokong. Manakala sebahagian ahli-ahli politik yang ada gagal menterjemah konsep Politik Quranik yang dituntut ke alam reality.


“ Ini tiga segi bukan empat segi ” laung Ali penuh semangat. …Tidak..bukan…sebenarnya ini empat segi …kau ni bodoh tidak boleh diajar ke haa !! ”. Bidas Abu yang memuncak amarahnya. Sebenarnya perbalahan ini berpunca daripada kelemahan kefahaman mereka berkenaan objek yang mereka debatkan. Mereka tidak kenal objek itu secara menyeluruh. Sebenarnya sebuah pyramid kalau dilihat dari tepi ia berbentuk segi tiga tetapi kalu dilihat dari bawah kelihatan tapaknya adalah segi empat tepat.


Inilah masalah besar yang melanda umat khususnya orang melayu muslim. Kemahiran mereka dalam melantik pemimpin sangat lemah. Mereka tidak memahaminya. Malas membaca dan mendengar ilmu lalu terus menghukum haram, kotor, merosak dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, buku ini cuba memberikan bahan cadangan yang boleh dikongsi bersama.

No comments: