Thursday, April 9, 2009

Harapan Tok Guru terhadap Nga Kor Meng

13 Rabiul Akhir 1430

9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 IpohPERAK DARUL RIDZUAN.


Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera Yang Berhormat, Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.

"Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *



TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS


Sumber : Misbahul Munir

Vokalis kumpulan Arrow sertai PAS, Amy Search cuma perhati

KOTA BHARU, 12 April (Hrkh) - Sempena program yang bertemakan 'Jom Sertai PAS', vokalis kumpulan rock Arrow, Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah membut kejutan apabila secarah sah menyertai PAS.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahlian itu kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri di atas pentas sebelum majlis berkenaan berakhir tengah hari semalam.

Turut menyaksikan majlis yang penuh bersejarah lagi ceria itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato' Ahmad Yaacob, anggota exco kerajaan negeri Haji Abdul Fatah Mahmood, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah di samping beberapa orang pimpinan peringkat parti.

Renggo yang berasal dari Tanah Merah Kelantan juga terkenal dengan jolokan raja syahdu adalah antara 50 orang golongan belia lain yang turut menyertai PAS sempena majlis yang julung kali pernah diadakan di peringkat negeri itu anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri.

Menurutnya, beliau bersedia menyertai parti Islam itu setelah tertarik dengan ucapan Tuan Guru ketika merasmikan majlis berkenaan, walaupun ringkas namun padat serta berisi dengan mesej yang baik.

Beliau yang tidak pernah mendengar ceramah agama dari pimpinan PAS sebelum ini, mengakui ucapan Tuan Guru cukup meresap dalam jiwanya.

Beliau hadir pada majlis itu hari ini bersama artis lagenda kumpulan rock, Amy Search sempena majlis Himpunan Belia Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bagaimanapun Amy Search yang menjadikan Tuan Guru sebagai 'idolanya' belum berbuat demikian.

Katanya, untuk ketika ini beliau ingin kekal imejnya sebagai seorang penyanyi rock dengan tidak menyertai mana-mana parti politik.

Katanya, pergerakannya dilihat secara halus oleh peminatnya sendiri, jadi untuk ketika ini beliau ingin berdiri sebagaimana artis biasa.

"Namun pada masa hadapan saya belum dapat tentukan lagi keadaan saya, jika itu (sertai PAS) kehendak Allah tidak mustahil saya akan berbuat demikian," ujarnya.

Sambungnya, beliau bersedia menerima undangan Dewan Pemuda PAS Negeri atas dasar tanggungjawabnya tanpa melihat risiko pada masa hadapan, kerana beliau tidak pernah memikirkan soal itu.

"Tidak perlu fikir soal risiko sebab kedatangan saya ke sini langsung tidak pernah saya fikir ianya suatu risiko bahkan saya sebagai artis berhak ke mana-mana untuk tujuan yang baik dan untuk bersama peminat," ujarnya lagi.

Namun bagi Amy jemputan menghadiri program tersebut merupakan suatu rezeki Allah yang tidak ternilai, apa lagi dapat membuat persembahan di hadapan Tuan Guru.

Amy ketika berucap pada majlis itu turut menceritakan saat mula beliau bertemu dengan Tuan Guru yang turut hadir ke restorennya Cheng Ho di Kuala Lumpur.

Selepas itu bertemu lagi di tanah suci Mekah selepas tiga hari berada di sana untuk menunaikan umrah.

Peminat kedua-dua artis rock itu tidak melepaskan peluang untuk melihat Amy dan Renggo dari dekat di samping untuk bersalaman sehingga memaksa pengawal keselamatan bertindak untuk menjaga keselamatan Amy untuk menaiki kereta selepas majlis berakhir. _ Harakahdaily

No comments: