Tuesday, March 3, 2009

RABU, 2009 MAC 04 PERAK DAN PICASSO PERAK DAN PICASSO






Pada tahun 1986 pertama kalinya aku sampai ke Utara Sepanyol. Ini kerana aku jatuh cinta dengan gadis Basque. Kami belajar disatu kuliah di Universiti Katholik Belgium. Ini cinta pandang pertama. Berjumpa dalam kuliah. Tapi bukan kesah cinta yang ingin aku tulis disini.

Di satu musim panas – tak tahu tahun berapa - si Kekasih telah membawa aku melawat ke luar kota. Kami merayau-rayau – bukan dengan kereta kuda seperti Don Quixote de La Mancha tetapi dengan sebuah kereta SEAT. Kami ada temu janji untuk berjumpa kawan yang baru memperbaiki sebuah rumah kuno di tepi gereja yang umurnya melintas 200 tahun.

Rumah di tepi gereja yang ingin kami lawati terletak di atas bukit. Tidak jauh dari bukit ini ialah pekan Geurnica. Aku sebenarnya telah bertemu dengan Guernica - tanpa aku mengetahuinya - ketika itu aku dalam darjah 4 lagi di Sekolah Umum. Guernica yang aku temui itu ialah kulit sebuah buku terbitan Oxford Universiti Press yang dimiliki oleh sekolah arwah ibuku. Di kulit buku ini ada gambar kuda yang sedang menjerit-jerit sakit.

Hampir 30 tahun kemudian - tanpa dirancang - aku sampai ke Guernica – daerah perkampongan di lereng bukit yang tidak jauh dari Bilbao – kota industri negara Basque. Guernica ialah nama daerah yang telah di bom oleh kapal terbang Hitler dalam Perang Dunia ke Dua. Nazi German telah membom Guernica untuk membantu gerombolan fascist Franco mengalahkan kaum Komunis, Demokrat, Anarkis dan Sosialis yang telah berjaya mendirikan Republik Rakyat Sepanyol dan mereka sedang bertahan di Geurnica.

Aku di beritahu – ketika bom meledak – orang kampong telah lari ke atas bukit untuk menyeberang masuk ke Peranchis. Sempadan Peranchis tidak jauh dari daerah ini. Serangan bom udara Nazi yang berterusan ini telah menewaskan ribuan warga kota dan kaum tani. Mayat mereka bergelempangan memenuhi guang dan lembah Guernica.

Ketika serangan berlaku Picasso – seorang Komunis - telah berjaya lari ke Paris. Lima belas hari sesudah Guernica dibom Picasso telah melakar sebuah mural yang diberi nama : Guernica. Mural ini satu-satunya imej anti-perang yang akan terus dingati sehingga dunia ini kiamat. Imej Guernica inilah yang telah aku lihat ketika aku masih lagi belum bersunat.

Warga Basque – seperti kekasih aku - tidak pernah mengakui diri mereka Sepanyol. Nationalisma Basque cukup kuat – hingga ke hari ini masih ada gerila pembebasan Basque – ETA – yang masih berjuang untuk memerdekakan Basque dari cengkaman Sepanyol.

Esoknya – kami menerukan perjalanan ke arah Bilbao sebelum sampai ke Bilabo kami singgah di pekan Geurnica. Di hadapan sebuah pejabat kerajaan ada sebatang Pohon Oak. Ini Pohon Oak yang bersejarah dan amat dihormati di negara Basque. Sejarah moden pohon ini tercatit – ketika kapal terbang Hitler mengugurkan bom pada tahun 1937 di kawasan ini Pohon Oak Guernica ini selamat.

Pohon Oak Guernica ini adalah simbol ratusan tahun semangat nasionalisma Basque. Mengikut sejarahnya Pohon Oak Guernica ini telah turun temurun beranak pinak dari semenjak tahun 1476. Malah banyak perjanjian dan mesyuarat gerakan nasionalisma Basque telah di adakan di bawah pohon ini. Pohon Oak Guernica kini menjadi simbol perjuangan rakyat Basque.

Kelmarin apabila aku terbaca tentang Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang di adakan di bawah sebatang pokok – dengan serta merta aku teringat Pokok Oak di Guernica. Sejarah telah dilakar kembali – kali ini di Perak.

Pelakon-pelakon dan para protoganisnya adalah sama – fascist dan royalist cuba mengalahkan kaum demokrat.

Aku tidak tahu dibawah pokok apakah persidangan ini dijalan tetapi pokok ini untuk aku ialah POKOK DEMOKRASI. Pokok ini wajib di nobatkan sebagai simbol perjuangan rakyat Perak untuk membawa demokrasi dan kebebasan.

Lihatlah - betapa indah dan sucinya sejarah pokok-pokok di negara ini – nama Ipoh berasal usul dari pokok Ipoh. Melaka dari pokok Melaka. Pulau Pinang dari pokok Pinang. Maka amat tepat Pokok Demokrasi berasal usul dari tuntutan warga Perak untuk membuka ruang demokrasi..

Pohon Demokrasi ini kelmarin telah menjadi saksi melihat warga Ipoh bangun untuk mendirikan Perak yang lebih demokratik. Pohon ini pasti akan menjadi simbol negara Malaysia baru yang akan ditubuhkan nanti. Inilah dia pokok yang turut sama dalam sejarah negara bangsa kita. Pohon Demokrasi ini adalah milik anak semua bangsa.

Seratus tahun dari hari ini anak cucu cicit kita akan melihat kembali pagi Senin 3hb March 2009 sebagai hari kelahiran Pohon Demokrasi.

Hendaknya muncullah pelukis, sasterawan dan penyaer yang akan melakar imej dan mengabadikan apa yang terjadi pada 3hb March 2009 seperti Picasso melakar apa yang terjadi di Guernica pada tahun 1937.

The tree of Gernika
is a blessed symbol
loved by all the Basque people
with deep love.
Give to all the world
your fruit;
we adore you
sacred tree.

Pohon itu yang aku tidak tahu nama nya
Kau adalah kami yang sedang berakar dan bertunjang
Datanglah rajau setan segala alam
Datanglah malapetaka dan ledakan neraka
Pohon yang aku tidak tahu nama nya
Akan beranak akan bercabang
Untuk memayongi kami anak semua bangsa.(TT)

No comments: