'Jam 5 pagi kita akan bertolak ke Kuala Terengganu. Nak merasa denyut nadi kempen di sana.' Iklan | | | | | | Demikian mesej ringkas yang saya terima di telefon bimbit. Tanpa banyak cerita, 10 Januari lalu saya sudah 'terpacak' di pejabat Harakah untuk memulakan perjalanan kembara ke negeri pantai timur itu bersama Ketua Pengarang Kumpulan Harakah Ahmad Lutfi Othman dan Pengarang Berita Tarmizi Mat Jam yang pada hari itu sedang 'bergelut' menyiapkan tugasan akhir 'deadline' akhbar Harakah. Maklumlah sudah sebulan pulang dari 'Mindanao', rasa rindu untuk menjelajahi tempat dan mencungkil pengalaman baru, kembali membara. Seingat saya, kali terakhir ke Kuala Terengganu ini ialah dua tahun lalu, sehari selepas kejadian hangat Batu Buruk yang tidak dapat dilupakan sesiapa apabila tembakan peluru hidup mengenai dua tubuh orang awam, sewaktu anggota keselamatan cuba menyuraikan satu ceramah yang dianjurkan oleh PAS dan Bersih. "Dari mana?" soal anggota polis tatkala kenderaan kami melintasi kawasan Chendor, Pahang pagi itu dalam perjalanan ke sana. Saya menjawab ringkas.Setelah mata liar memerhati Tarmizi yang memakai t-shirt 'kuning Bersih' dan memandang sticker 'Harakah' yanag yang melekat di cermin belakang kereta Lutfi , anggota polis itu menunjukkan isyarat melepaskan kami untuk meneruskan perjalanan. Setelah melalui empat sekatan dan pemeriksaan polis seperti di Kemaman dan Dungun, kami tiba di Kuala Terengganu kira-kira12 tengah hari. Sebelum ini hanya mendegar berita semata, tapi kali kami menyaksikan dengan mata kepala, betapa ramainya anggota polis di sekitar bandar ini seolah-olah berada di zon perang, saling tak tumpah seperti di Cotabato, Mindanao tempat saya lawati dulu ataupun mungkin seperti di Gaza City, Palestin. Bagi pelancong, barangkali suasana begini amat menakutkan. Paling tidak perasaan kurang selesa itu mungkin ada bagi mereka yang pertama kali tiba ke sini, tidak terkecuali penduduk sekitar bandar Kuala Terengganu. Masakan tidak, di sekitar ibu pejabat kontijen polis negeri ratusan khemah canvas putih, trak, kereta peronda dan motosikal polis trafik tersusun di tepi jalan menarik perhatian orang ramai. Pasti ada pemandu yang memperlahankan ketika melintasi kawasan ini, kerana pegun dengan fenomena ajaib ini, yang jarang sekali berlaku dalam mana-mna pilihan raya kecil sekalipun. Selain itu, bandar ini dimeriahkan dan diwarna-warnikan dengan ribuan perang poster kedua-dua parti iaitu daripada PAS dan Umno namun tidak sampai 10 poster calon bebas kelihatan. Uniknya, poster BN banyak memaparkan aksi calonnya Dato' Wan Farid yang seolah-olah mesra rakyat seperti duduk bersimpuh seperti kaum wanita dan mengharungi banjir dalam keadaan tidak menyinting seluar serta masih tersarung kasut dan stokin! Itu tidak termasuk ayat-ayat lazim janji manis BN yang selalunya terpampang di mana-mana pilihan raya. Dipaparkan juga banting-banting gambar Perdana Menteri, Timbalannya, Menteri Besar dan Wan Farid dalam wajah yang tersenyum dengan disispkan kalimah-kalimah pemimpin mesra dan berjiwa rakyat. Manakala di dada akhbar-akhbar yang berselerak di bandar ini memaparkan tajuk-tajuk yang mengundang persoalan dan adakalanya melucukan seperti 'Wan Farid tidak sombong' dan 'Pilih calon bukan kerana muka'! Tak pernah dengar tajuk berita seperti itu seolah-lah menggambarkan calon BN ini mempunyai masalah peribadi sehingga terpaksa 'dicuci' oleh pemimpin atasan BN dan Umno demi meyakinkan rakyat yang sudah lama meragui kewibawaan barisan kepimpinan apatha lagi terlalu banyak pergolakan yang berlaku dalam Umno, juga sengketa antara parti-parti komponen BN. Kalau sayalah jadi Wan Farid, pasti malu besar apabila orang mempersoalkan 'kehenseman' (handsome) wajah saya apatah lagi memperkatakan watak dan peribadi saya di akhbar. Lebih aneh kali ini beriya-iya Barisan Nasional memberi ingatan supaya parti lawan atau pihaknya sendiri agar ketika kempen tidak menyerang peribadi calon. Ceramah-ceramah BN dan kempen-kempen semenjak empat hari lalu lebih tertumpu kepada 'membersihkan' imej Wan Farid itu sendiri yang katanya tidak mendapat 'tempat' di hati penduduk, khususnya pengundi Kuala Terengganu kerana dilihat agak 'elit' dan mempunyai gaya yang tidak mesra rakyat berbanding penyandang asalnya Allahyarham Dato' Razali. Ketika pusing-pusing bandar, kami termasuk orang ramai begitu tertarik dengan sebuah lori panjang yang belakangnya diletakkan sebuah skrin besar. Skrin itu memaparkan 'slide show' kempen PAS dan Pakatan Rakyat. Rupanya perbelanjaan lori dan skrin itu ditaja sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Setelah puas menjamu mata dan selera, kami menuju ke peajbat Harakah di Kampung Pulau Kambing untuk meninjau operasi warga kerja Harakah. Ketika sampai, Nordin, Wan Zahari, Khairul dan Intan sedang ligat menyiapkan tugasan bahan dan 'memproses' berita dan maklumat terkini. Di situ berkumpul juga rakan-rakan wartawan seperti Lan Jusoh, Mohd Nor Yahya, Azmi dan kolumnis Mat Zain Mat Isa. Masing-masing sibuk bercerita perkembangan terkini. Kata mereka, BN belum lagi 'menyerang' PAS secara total tetapi lebih memfokuskan kepada imej dan peribadi calon BN yang dilihat bermasalah. Sukar untuk mengatasi Calon PAS Abdul Wahid Endut. BN susah untuk 'damage' watak Wahid berbanding Wan Farid yang sibuk dipekatakan orang khususnya orang Umno sendiri. Tidak sempat bersembang lama dengan rakan-rakan, memandang mereka pula keluar untuk menghadiri aktiviti dan majlis-majlis yang melibatkan Abdul Wahid dan pimpinan tertinggi PAS serta Pakatan Rakyat yang bercambah di sekitar Parlimen ini. Bayangkan lebih 30 aktiviti sehari yang perlu dibuat liputan. Ada yang sempat, ada yang tidak. Tamatnya pula jam 12 tengah malam dan proses menyiapkan berita berjalan sehingga ke larut pagi dan ada kalanya menjelang subuh. Saya rasai pengalaman itu sewaktu ditugaskan ke pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Mengerti benar saya tentang kepenatan dan kepayahan yang dilalui. Kami termasuk Mat Zain Mat Isa menginap di Daya Bakti Homestay di Kampung Teluk Ketapang. Sambil bersembang-sembang, Mat zain menjamu kami keropok lekor yang dibelinya siang tadi. Jam sudah 1 pagi, ketiga-tiga mereka masih rancak berbual kisah-kisah bujang dan alam menara gading mereka. Saya yang 'melangut' dan nganga dengan topik perbincangan mereka yang penuh gelak ketawa itu akhirnya mengambil keputusan untuk melabuhkan badan lantas tidur kerana esok kami akan pulang semula ke Kuala Lumpur. Pengundi Cina bawa bendera PAS, kutip dana Keesokan pagi Ahad, setelah menjamah sarapan nasi dagang jam 11 pagi, kami menuju ke bilik gerakan MTD Alor Limbat, untuk mendengar taklimat Pengarah Penyelidikan PAS Dr Dzulkifli Ahmad, Pengarah Operasi Haji Mahyudin dan pasukannya. Kami diberitahu tentang laporan terkini maklum balas orang ramai khususnya penduduk Kuala Terengganu berhubung masalah-masalah tempatan dan juga pendapat terhadap ketiga calon yang bertanding. Ditayangkan 'slide show' kajian-kajian dan statistik maklumat sulit kepada kami. Setakat ini calon PAS berada di carta teratas sebagai calon popular. Selesai di situ kami ke Dewan Dato Wan Mutalib di Kuala Ibai untuk mendengar sidang media tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu Presiden Pas Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Turut serta beberapa pimpinan kanan seperti Dato' Mustafa Ali, Mohammad Sabu, Dr Hatta Ramli, Ustaz Ahmad Awang, Tan Seng Giaw dan Mustafa Kamil Ayub. Turut hadir sama ialah calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut yang rupanya sudah ada nama timangan baru - 'YB. MAWE' Puluhan wartawan dan jurugambar pelbagai agensi berita hadir untuk mendapat berita sensasi dan panas. Ada yang cuba mencuri tumpuan, 'inter-frame' dan ada juga yang cuba melontarkan soalan provokasi namun kematangan para pemimpin terserlah apabila mereka menjawab dengan tenang dan menangkis kilas soalan dengan jawapan yang memuaskan. Sebelum itu, kami dan warga kerja Harakah diketuai Lutfi mengadakan perbincangan dan pengagihan tugasan untuk disiapkan pada deadline akan datang dengan tambahan 'bonus' sisipan lapan muka fokus khas isu Kuala Terengganu untuk tatapan pembaca. Satu tanggungjawab besar dipikul warga kerja untuk memastikan persembahan yang terbaik untuk penyokong PAS dan peminat Harakah. Kerana itu juga kami mengejar masa, untuk pulang segera kerana keesokan, Isnin ada deadline yang perlu dilunasi. Di situ saya sempat berkenalan dengan Hajin Baharuddin, 62 dari Selangor semata-mata sukarela membantu jentera parti. Ceritanya tentang kekaguman dengan situasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini sepanjang hayatnya iaitu apabila orang cina memegang bendera PAS sambil merayu derma untuk tabung pilihan raya di sebuah kawasan Cina dan lebih mengejutkan semua hadirin yang berketurunan tionghwa sama-sama menyumbang dana. "Azamin dimana? Saya ada buat persembahan malam ini. Marilah jumpa. Kawan-kawan 'Mindanao' kita macam Dr Faizol, Dr Shah dan Ismail Amar pun ada." kata Azhan Juara Akademi Nasyid ketika menghubungi saya.Serta merta memberi jawapan yang pasti mengecewakan rakan-rakan kerana tidak dapat bertemu. Lewat senja, dari dewan itu kami bergegas pula ke Homestay untuk bersiap-siap 'check- out.' Selesai solat jamak Maghrib-Isyak kami singgah pula untuk menemui Timbalan Pesuruhjaya PAS Ustaz Abu Bakar Chik dan pasukan gerak saraf di sebuah lokasi rahsia yang tidak diketahui alamatnya. Mana taknya, kami diberitahu untuk tunggu tempat tertentu sebelum dijemput oleh dua orang yang menunggang motosikal lalu membawa kami ke sebuah premis. Disitu kami diberi taklimat ringkas, taktikal dan teknik perang saraf yang dilancarkan di samping memaklumkan modus operandi pihak polis yang dilihat begitu membimbangkan antaranya memantau secara dekat semua gerak kerja petugas parti di semua lokasi yang memasang banting, poster dan bendera PAS seolah-olah cuba menakutkan pergerakan.Begitu juga hal-hal penyamaran polis yang dikenal pasti. "Seolah-olah PAS berhadapan dengan dua jentera besar iaitu BN dan polis dalam pilihan raya kali ini dan kebimbangan pihak keselamatan yang mungkin mengiringi pengundi hantu pada 17 januari nanti," kata salah seorang dalam taklimat tertutup itu. Malah Harakah juga diberi peluang memberi input dan pandangan untuk menguatkan jentera saraf. Jam sudah menunjukkan waktu 10 malam dan kami masih di Kuala Terengganu dengan mata yang semakin mengecil dan tenaga yang makin lelah. Kami singgah untuk makan malam di restoran Nur Islamiyah di pekan. Kata orang, Mohammad Sabu sangat suka datang makan di sini termasuk petugas-petugas PAS yang datang dari pelusuk negeri. Sebelum berangkat pulang, Lutfi bertemu semula rakan-rakan wartawan Harakah di sekitar kawasan Batu Buruk untuk perbincangan terakhir dan memberi suntikan semangat untuk terus berjuang melaksanakan tugas memastikan kemenangan PAS pada Sabtu ini. Saya tidak turut serta, penat dan terlalu mengantuk. Hanya merehatkan badan di dalam kereta. Al-maklumlah sebagai pemandu utama, tugas yang digalang tidak kurang pentingnya tambahan pula sudah melewati jam 12 tengah malam untuk bertolak ke Kuala Lumpur malah 'wajib' tiba kira-kira jam 6.00 pagi kerana perjuangan seterusnya menunggu di sana - menyiapkan 'deadline' dan menghantar anak-anak kami ke sekolah! - azm _ |
No comments:
Post a Comment